Siri Novel - Setelah ku dinikahi (xx)

Monday, July 26, 2010




“Terima kasih.”

“Kau pernah melakukan lebih dari ini untukku.”

“Bukan untuk teh mu. Untuk tidak memberiku pernafasan buatan,” dia tersenyum nakal.

“Oh, kau!” aku ikut tersenyum, lega.

“Dan untuk mengahwini denganku,” lanjut Idlan kemudian, riak wajahnya begitu serius.

“Sekurang-kurangnya sebelum meninggal, Mak beroleh ketenangan kerana melihat aku sudah beristeri. ”

Aku tertegun sesaat. Suaraku goyah dan tersekat semasa aku bercakap,

“Aku yang mesti berterima kasih kepadamu.”
 
“Untuk apa?”

“Untuk setahun yang kau lalui denganku. Untuk kesabaranmu.  Pengorbananmu.”

Idlan tersenyum kecil.

“ Aku tidak melakukan apapun yang tidak kusukai. Setahun ini adalah sangat bahagia untukku. Seharusnya aku yang berterima kasih.”

“Jangan memaksa,” aku cuba bergurau.

“Aku yang harus berterima kasih. Mengalahlah sedikit.”

Idlan tersenyum dan mencubit hidungku. Tangannya tidak sedingin tadi dan itu melenyapkan sisa-sisa kekhuatiranku.

“Aku masih tak faham kenapa kau akhirnya mahu terlibat dengan idea gilaku ini ,” katanya.

“Entahlah, Dlan,” aku tertawa kecil.

“Mungkin aku sudah hilang arah apabila setiap kali ibuku menanyakan soal perkawinanku. Dan aku melihat ideamu itu sebagai jawaban yang terbaik untuk menyelesaikan dua masalah sekaligus, keenggananku untuk kahwin, kerana tidak ada calon yang pasti dan keinginan ibuku yang meninggi untuk melihatku berkahwin secepat mungkin."

“Apa yang kau dapat selepas setahun kita berkahwin?” tanyanya dengan wajah lebih serius.

Aku terdiam sejenak.

“Banyak,” akhirnya aku menjawab.

“Aku belajar bahawa aku tidak berkahwin dengan malaikat atau syaitan , tetapi dengan manusia, yang memiliki kekurangan yang harus kumaafkan dan keistimewaan yang tidak boleh kuabaikan. Aku belajar bahawa dalam perkahwinan, bila kita tidak  mendapatkan apa yang kita inginkan tidak bererti kita selalu kalah, tetapi boleh jadi ia adalah satu kemenangan bersama.”

Aku ingin menambahkan bahawa pernikahan memerlukan cinta dan kesetiaan seperti gurun memerlukan air, tapi aku tidak ada keberanian untuk  menyatakan semua itu.

“Kau memang selalu pandai berkata-kata,” Idlan tersenyum.

“Kau sendiri? Apa yang kau pelajari selama ini?”

“Hanya satu. Hidupku mungkin tidak akan pernah sebahagia ini lagi selepas kau pergi nanti.”

Aku terpegun.

“Apa maksudmu?”

Idlan bangkit dan duduk bersila menatapku.

“Tahun ini adalah waktu paling bahagia dalam hidupku. Setiap pagi aku bangun dan mendengar suaramu, aku sering memikirkan aku adalah lelaki paling bahagia di dunia ini. Dan setiap malam waktu aku pulang dan kau tersenyum menyambutku, aku dapat rasakan aku menjadi manusia yang paling beruntung di muka bumi ini. Aku menjadi sangat selesa dengan kehadiranmu bahkan mula berharap kau akan
bersamaku terus, walaupun harapan itu, aku tahu hanya angan-angan. Tapi kalau kau mencintai seseorang seperti aku mencintaimu, kau akan kehilangan akal.”

Kutatap wajah Idlan dekat-dekat. Dia tidak kelihatan sedang bergurau. Dia nampak sangat tenang dan serius.

“ Aku masih tak faham,” bisikku.

“Perkahwinan ini tidak pernah hanya sebagai sebuah lakonan untukku, Nor. Ini adalah perkahwinan yang benar untukku.”

“Apa maksudmu kau mencintaiku ?” suaraku tersekat.


Bersambung.....................








No comments:

Related Posts with Thumbnails