Siri Novel - Setelah ku dinikahi (xix)

Friday, July 23, 2010




Ku lihat Idlan di sana, sedang menghisap rokok. Sudah tujuh belas tahun dia berhenti merokok dan apabila melihatnya kembali keadaannya itu membuatku sedar dia sedang bergelut dengan kepedihan yang lebih dalam dari yang ditunjukkannya.

Ketika aku mendekatinya, kulihat bakul sampah di sampingnya telah penuh dengan puntung rokok dan rokok di atas meja hanya tinggal sebatang saja lagi.

Kucabut rokok itu dari antara jemarinya dan ku buang ke dalam longkang di hadapannya. Idlan tidak menghalang, dia juga tidak menatapku. Aku sedar kata Kak Ira memang betul.
 
Aku mesti membawa Idlan jauh daripada semua kenangan tentang ibunya.

“Aku nak balik, Dlan, ” sebutku sambil memegang tangannya.

Dia menggeleng perlahan.

“Aku nak tidur di sini. Kau baliklah sendiri. Besok aku balik naik bus saja.”

“Aku tak nak sendirian di rumah.”

Idlan menghela nafas panjang dan akhirnya berdiri.

Dia memaklumkan kepada kakak dan iparnya kemudian keluar untuk mengambil kereta. Saat itu Kak Ira mencuit tanganku dan berbisik,

” Aku senang hati Idlan sudah berkahwin  denganmu. Kau pasti boleh menghiburkannya dalam keadaan seperti ini. Dialah yang paling merasa kehilangan mama. Kau pun tahu, dia tinggal dengan Mama selama tiga puluh tiga tahun.”

Aku terpaku sesaat. Dadaku ngilu. Kupeluk Kak Ira dengan hati menggigil.
 
Bagaimana boleh kukatakan kepadanya bahawa aku dan Idlan sudah merancang untuk mengakhiri perkahwinan ini secepat mungkin?

Sesampai di rumah, Idlan masuk terus ke biliknya.

“Kau...nak kumasakkan nasi goreng, Dlan?”

“Nanti saja. Aku tak lapar.”

“Kau tak makan apa-apa lagi dari semalam. Nanti kau sakit. Aku masakkan ok?”

Idlan mengangguk dengan mata sayu. Aku menjadi semakin khuatir melihatnya.

“Tunggu di sini,” kataku lagi.

“Aku tak akan lama.”

Ketika aku baru saja hendak mengambil telur di dalam almari, aku terdengar suara Idlan di kamar mandi. Ku lihat dia membongkok di mangkuk tandas, menangis dan muntah. 

Untuk beberapa saat aku merasa lumpuh dan aku hanya mampu terpaku melihatnya, tidak tahu apa yang harus kulakukan.
 
Ku fikir aku harus lari keluar mencari bantuan. Tapi aku tak mungkin meninggalkan Idlan dalam keadaan seperti itu.

Perlahan-lahan ku hampiri idlan. Ku belai  bahunya dan sentuhanku agaknya memberikan sedikit ketenangan buatnya, dan lama kelamaan tangisannya reda.

Ini membuatkanku lebih yakin dengan apa yang mesti kulakukan selepas ini.

Ku keringkan peluh di dahinya. Tapi tiba-tiba saja dia terkulai lemas, dan kalau aku tidak bertindak pantas menggapainya ke dalam pelukanku, dia pasti akan tersungkur ke lantai. 

Perlahan-lahan kupapah idlan ke bilik dan kubaringkan di katil. Kubuka baju kemejanya yang basah dan
kuselimuti badannya yang menggigil.

“Maaf, Nor,” bisiknya.

“Aku tak sanggup menangis di depan kakak-kakakku.Mereka ….”

“Aku tahu. Tak apa ,” tanganku masih gementar saat aku membelai rambutnya.

“Aku bancuhkan teh panas, nanti kau minum, ok?”

Idlan mengangguk dan aku berganjak meninggalkannya. Ketika aku kembali, dia kelihatan agak lebih baik. Dihirupnya sedikit teh yang kubawa.

Wajahnya tidak lagi kelihatan pucat. 

Ketika aku menyelimutinya kembali,idlan memegang tanganku. 


Bersambung......................

1 comment:

Anonymous said...

dah minat sgt ngn cerita nih
memang best gaya cerita
dari semalam tunggu sambungan

Related Posts with Thumbnails