Siri Novel - Setelah ku dinikahi (xvii)

Wednesday, July 21, 2010



“Nor,” suaranya gementar.

“Aku berjanji akan selalu membahagiakanmu”

Aku tahu sejak awal lagi lakonanku dengan Idlan akan berakhir,cuma cepat atau lambat tidak ku ketahui. Tapi hatiku tetap enggan untuk merasa tenang dengan kenyataan bahawa aku harus berbincang dengannya tentang perpisahan.

Aku sedar bahawa Idlan sendiri tidak berhak dan tidak mungkin menghentikanku. Bahkan, mungkin dia akan merasa lega dengan keputusanku itu, kerana akhirnya dia boleh menikmati hidupnya sendiri kembali.

Mustahil dia akan menolak untuk berpisah denganku. Apatah lagi, aku juga tahu dia sangat menyayangiku dan ingin aku bahagia. Dan aku tahu, keputusanku untuk kembali kepada Is adalah yang terbaik untukku dan masa depanku, sesuatu yang pasti akan disokong oleh Idlan. Aku yakin keputusanku itu tidak akan merugikan sesiapa pun. Tidak ada sebab untuk aku risau untuk memberitahu hal ini kepada Idlan.
 

Aku berjanji kepada diriku sendiri untuk mencari masa yang sesuai. Tetapi saat itu tidak pernah datang. Aku seringkali mengalami kesusahan dan akhirnya membatalkan niatku. Is tidak akan memahami situasiku.

“Aku ingin kita berkahwin sebelum aku balik ke Jerman, Nor. Dan kau harus menghabiskan masa iddahmu terlebih dahulu. Dan aku hanya di sini untuk sepuluh bulan sahaja lagi.”

“Aku tahu. Aku pun fikir begitu juga. Tapi … Entahlah.”

“Kau tak yakin aku akan membuatkanmu bahagia?”

“Aku ….” aku tergagap.

“Jadi, berterus-teranglah dengan Idlan.”

Petang itu, aku pulang dengan hati yang berat. Aku sudah tekad untuk berterus-terang dengan Idlan malam itu juga. Aku tidak akan bertangguh lagi.

Setibanya aku di rumah, Idlan sudah menungguku di depan pintu. Matanya berbinar dan wajahnya berseri saat aku mendekati pintu rumah, membuatkanku tertanya-tanya apa sebenarnya telah berlaku.

“Kenapa kau awal balik hari ni?” tanyaku.

Idlan menyilangkan telunjuknya di depan bibir dan memimpin tanganku masuk ke dalam rumah.

“Ada apa?”

“Sssst!”

Dia membawaku ke ruang rehat. Dengan bangga didepakannya tangannya.

Di sana ada sebuah buaian rotan berwarna putih, cukup lebar untuk tiga orang, dengan bantal-bantal yang kelihatan sangat comel, berwarna hijau dengan gambar … mawar putih?

“Ini hadiah ulang tahun pertama perkawinan kita,” katanya.

Mataku beralih dari buaian rotan itu. Wajah Idlan benar-benar keriangan. Di matanya ada sedikit kehairanan melihat wajahku yang pasti telah berubah warna.

“Aku … aku tak ada apa-apa hadiah” kataku sambil kembali menatap ayunan itu, menyembunyikan kekalutanku.

“Aku lupa ….”

Idlan ketawa. “Bulan lepas...Hari jadimu sendiri pun kau tak ingat” katanya.

Dia duduk di buaian itu.

“Mari,” katanya sambil menarik tanganku.

Aku duduk di sampingnya, tak tahu hendak berkata apa. Aku langsung tidak ingat bahawa setahun lalu pada hari ini, aku dan Idlan berkahwin, simulasi.

Kenapa Idlan harus menganggap hari ini amat istimewa sedangkan aku sendiri sama sekali tidak mengingatinya?

Idlan mulai mengayun-ayun perlahan sambil menggenggam tanganku. Dia sedang menceritakan beberapa kejadian lucu di pejabatnya, tapi aku sama sekali tidak mendengar. Di kepalaku bermain ribuan kata-kata yang akan segera kuucapkan padanya. Aku telah berlatih dalam hati untuk mengatakan segalanya dengan tegas dan jelas. Tapi sekarang, semua kegagahan hati yang telah kubangunkan runtuh berserpihan.

“Nor, kau nak dengar lawak Rashid?” teguran Idlan menghapuskan renunganku.

 “Apa?” Kutatap matanya.

“Dlan, Is pulang.”

Dahinya berkerut. “Is?”

“Kekasihku yang pergi ke Jerman.”

“Oh,” ia mengangguk.

“Bila?”

“Sebulan lalu, semasa hari jadiku.”

Idlan mengangguk lagi. 


Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi.

“Dia dah kahwin?” tanya Idlan, seperti mendorongku untuk meneruskan topik perbualan.

Aku menggeleng.

“Jadi?”

“Dia ingin mengahwiniku ,” kataku cepat-cepat, tanpa memandang wajahnya.





Bersambung.................


******
Iddah muthlaqah (masa perceraian), yaitu masa iddah yang terhitung masa haidh, maka wanita menunggu tiga quru’ (masa suci), sebagaimana firman Alloh ‘azza wa jalla :

“Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru’.” QS. Al-Baqarah ; 228 Yaitu 3 kali masa haidh. 

********




1 comment:

Related Posts with Thumbnails