Siri Novel - Setelah ku dinikahi (xiii)

Thursday, July 15, 2010





“Aku sekarang senior editor,” jawaban itu terdengar menyedihkan, hampa.

Apa ertinya status jawatanku di sisi… cinta? Kesetiaan?

“Tahniah” ia kedengaran tulus, tapi di hatiku merasakan kepedihan.

“Aku selalu yakin kau yang terbaik untuk jawatan itu.”

“Kau pernah menyuruhku untuk membiarkan saja jawatan itu dulu,” kataku dengan nada sedikit kehampaan.

Apa agaknya yang  terjadi kalau dulu kukatakan “ya ”?

Sepuluh tahun bersama Is, Bagaimana agaknya aku sekarang?

Is menggeleng. “Aku hanya memintamu untuk memilih.”

Matanya merenung pada cincin di jari manisku. Suaranya perlahan saat dia bertanya,

”Kau sudah kahwin?”

Aku mengangguk. Ia tertawa kecil, agak gugup .

“Siapa?” tanyanya seperti berbisik.

“Idlan,” jawabku kaku.

“Idlan? Idlansyah kawanmu?”

“Sahabatku.”

“Sahabatmu,” bisiknya sekali lagi.

“Berapa ramai dah anakmu?”

Aku menggeleng.

“Belum ada,” bisikku.

Is menatapku wajahku. Dua kali dia nampak seolah-olah hendak bersuara tetapi setiap kali juga dia berhenti.

Akhirnya, dengan senyuman kecil dia mengeluarkan sebuah kotak kecil dari poketnya.

“Aku…,” dibukanya kotak itu.

“…Aku sendiri menganggap diriku gila, kerana membawakanmu ini. Tapi, Nor, maaf kalau aku terus-terang seperti ini, dihatiku kau masih Nora-ku yang dulu. Aku tahu dalam sepuluh tahun segalanya boleh terjadi dan kau mesti sudah berkahwin. Tapi….”

Dikeluarkannya seutas gelang dihiasi batu permata. Aku terkesima.

“Aku tahu kau sukakan perhiasan antik. Aku ada kawan yang membuka kedai barangan antik di Munich. Aku membeli ini darinya,” tanpa meminta izinku, Is menyarungkan gelang itu di tanganku.

“Terima kasih,” ucapku terpesona.

“Cantik”

“Kau suka?”

Aku mengangguk. Dan aku teringat pula hadiah hari jadi dari Idlan.

“ Kau….Sepatutnya kau tak perlu susah susah…,” suaraku keluar dengan susah payah.

“Sebenarnya aku nak membawakanmu karpet antik yang aku pasti akan membuatkan kau tergila-gila. Aku sudah membelinya kerana itu mengingatkanku padamu.

Setiap kali aku berbelanja membeli barangan antik aku tak boleh tidak mengingatmu,”

Is tertawa kecil.

“Tapi aku tak dapat membawanya ke sini. Barang-barangku banyak sangat. Ibuku awal-awal lagi sudah berpesan kepadaku untuk membeli ole-ole untuk anak-anak buahku dan sanak saudaraku yang lain."

Aku tersenyum kecil. Tapi dalam hatiku muncul seribu pertanyaan.

Apakah Idlan tahu hadiah seperti apakah yang akan membuatku bahagia? Adakah dia mengenali selera dan kegemaranku? Aku menggeleng dalam hati. Tidak. Tidak .

Is masih bercerita panjang lebar tentang perniagaan yang dilakukannya di German. Aku kembali teringat tentang kecerdasan dan keluasan fikirannya.

Apatah lagi sepuluh tahun berada di  luar negara telah menjadikan Is yang dulu kukenal lembut dan peka, semakin lapang hati dan  bersikap terbuka.

Kalau ada yang berubah dalam dirinya, semua itu hanya menjadikan dirinya sempurna.

Segalanya memilukan hatiku. Sudah terlambat,bisikku kepada diri sendiri.

Is bercerita tentang barang-barang antik yang juga menjadi salah satu kegemarannya.

“Kalaulah kau bersamaku, Nor,” katanya dengan mata berkaca-kaca.

“Kita boleh menghabiskan masa dengan meneroka seluruh Eropah untuk mencari barang antik….”

Is melihat raut wajahku dan berhenti bercakap.

“Maaf,” katanya sejenak kemudian.

“Aku kena balik ke pejabat,” kataku kaku.

“Baiklah. Nak aku hantarkan?”

“Aku ada kereta.”

Is menahan tanganku ketika aku hendak berdiri.

“Nor, aku tahu semuanya berbeza sekarang. Tapi, kalau kau tidak keberatan, bolehkah kita bertemu lagi sekali-sekali selagi aku masih di sini? Aku perlukan kawan yang boleh
menemaniku untuk mengunjungi galeri dan art shop.”

Undangan yang sangat menggoda, yang memenuhi jiwaku. Kalaulah aku boleh mengatakan ya.

Is membaca keraguanku.

“Kita boleh keluar bertiga, kau, Idlan dan aku,” katanya.

“Aku tak ramai kawan di sini.”

“ Aku fikir dulu k,” jawabku cepat-cepat, sebelum hatiku dikuasai kehausan untuk duduk lebih lama bersamanya.

Is mengambil sesuatu di poket bajunya dan mengeluarkan sekeping kad nama. Di belakangnya dia menulis nombor handphonenya.

“Hubungi aku kalau kau dah bersedia. Aku tunggu panggilanmu.”

Malamnya aku berbaring di bilik, menatap kad itu seperti
anak gadis yang sedang mabuk kepayang. Aku bukan remaja lagi dan sepatutnya aku sudah boleh mengawal diriku sendiri.

Tapi aku tak dapat menipu hatiku sendiri. Kehadiran Is mewujudkan semula harapan dan khayalan yang kukira telah lama lenyap. Tapi masihkah ada kemungkinan antara aku dan Is?

Is bertanya dan aku telah meyakinkannya, bahawa aku telah berkahwin dan segalanya telah berakhir. Yang dia tidak
ketahui, perkahwinanku dengan Idlan hanyalah sebuah lakonan yang boleh ku putuskan bila-bila masa saja kalau ku mahu.

Tapi, walaupun dia tahu, apakah segala-galanya akan berbeza? Apa pendapatnya kalau aku menceritakan semua padanya, apa perasaannya?

Aku tak nak lagi memikirkan tentang Is. Apa yang kuharapkan bersamanya mustahil terjadi. Tapi, hidup dengan Idlan seperti ini selamanya juga tidak mungkin.

Semua ini hanya sandiwara yang akan berakhir, cepat atau
lambat. Apakah kembalinya Is merupakan suatu kesempatan kedua yang semestinya kuraih kerana selepas ini mungkin tidak akan wujud lagi? Tapi bagaimana?



Bersambung..........



Dah download ebook Free?



No comments:

Related Posts with Thumbnails