Siri Novel - Setelah ku dinikahi (xii)

Wednesday, July 14, 2010



Is berjanji akan membahagiakan Nora. Tapi sayang semuanya sudah terlambat. Dia sudah berkahwin, walupun ianya hanya satu simulasi.

*********

Aku keluar lebih awal dari biasa semasa waktu makan tengahari, ku abaikan sahaja ajakkan rakan sepejabatku yang ingin membelanjaku makan.

Aku kebingungan...

Dalam perjalanan aku memikirkan kembali mawar putih itu. Sejak aku melihatnya, aku tahu tidak mungkin mawar itu pemberian idlan. Idlan tidak akan seromantik itu. 


Hanya  seorang yang kutahu pernah dan selalu memberiku
mawar putih.

Dan ianya adalah milik masa lampau yang tak pernah kubayangkan boleh dan akan kembali. Dan juga pesanan di dalam kad ucapan itu.....

Restoran itu masih seperti di dalam memoriku. Sederhana dan ringkas di bahagian luarnya; tetapi bila saja aku masuk, aku beroleh kedamaian dan ketenangan kerana reka bentuknya yang lapang dan asli, dengan kolam-kolam
kecil bertaburan si teratai merah jambu dan putih serta suara gemercik air terjun buatan di sepanjang dinding sebelah kiriku.

Tidak ada yang berubah. Dan meja nombor lima kegemaranku masih seperti dulu.

Ketika aku menghampiri meja itu, aku tidak
lagi merasa sebagai Nora yang berusia tiga puluh empat tahun, yang dewasa dan percaya diri, tetapi seorang gadis berusia dua puluh tiga tahun, yang terperangkap di antara cinta dan cita-cita.

Di meja itu ku lihat seseorang menantiku, seperti juga sepuluh tahun yang lalu. Sebahagian hatiku mengingatkan untuk tidak terlalu berharap. Masa lampau mustahil untuk kembali lagi.

Tapi segalanya masih sama seperti dahulu, hingga aku sukar untuk memisahkan antara kini dan ketika itu.

Apatah lagi saat lelaki di meja itu bangun menyambutku, menggenggam tanganku dan menyebut namaku.

 “Nor,” kelembutan suaranya masih seperti yang kuingat. Dan wajahnya, walaupun ada sedikit berkerut, masih seperti yang ku ingati.

“Kau datang.”

“Hai, Is” sapaku sambil duduk di hadapannya, tak lepas mataku dari senyumnya. Aku tiba-tiba sedar dengan rasa rindu yang sudah lama tak pernah ku fikir, dahaga yang bertahun-tahun tak kuizinkan untuk hadir.

Perasaanku berkecamuk, 'angau' yang belum pernah lagi kurasakan apabila bersama dengan sesiapa pun.

Lucu sekali apabila seorang perempuan seusiaku masih berdebar-debar kerana pertemuan dengan bekas kekasih..

“Terima kasih, mawar tu...,” luahan pertamaku agak bergetar.

“Kau masih ingat.” sambungku

“Aku tak mungkin lupa, meskipun nak melupakannya sekalipun,” katanya tersenyum.

“Bila kau pulang?”

“Pagi tadi.”

“Dengan anak isterimu?”

Is tertawa kecil.

“Ini agak memalukan. Aku masih sendiri, Nor.”

Jawabannya begitu mengejutkanku sehingga aku tak tahu harus berkata apa-apa.

“Aku tidak dapat membayangkan berkahwin dengan sesiapa pun selain denganmu,” senyumnya padam dan di matanya bergelora lagi aura pesona yang pernah dan mungkin masih boleh meluluhkan hatiku.

“Sepuluh tahun aku mencari, dan aku tetap tidak dapat menemui penggantimu.”

Aku tunduk, bibirku tertutup erat. Sepuluh tahun lalu, di tempat ini juga, ia melamarku, dan aku menolak.

Aku tidak boleh membiarkan peluang kerjaya yang telah susah payah ku usahakan di sia-siakan begitu saja, walaupun
untuk satu-satunya lelaki yang ingin ku kahwini. Aku tidak bersedia hanya menjadi bayangannya, terperangkap dan layu di negeri asing, walaupun dia adalah orang yang menguasai separuh jiwaku.

Dan dia pergi. Di awal perpisahan surat-suratnya datang dengan teratur, tiada satu pun kubalas.Bertahun-tahun dia tetap mengirim kad ulang tahun dan Lebaran, semuanya kubakar, sampai aku tidak lagi peduli, sehinggalah suatu hari tidak ada lagi kad yang datang.

Dan dengan sedih aku harus mengakui bahawa lelaki
sesempurna Is pun suatu ketika akan melupakanku.

“Kau pula bagaimana, Nor?”





Bersambung.....



Wow!! Dapatkan ebook percuma

No comments:

Related Posts with Thumbnails